Beberapa aspek keselamatan diabaikan: KP Bomba

JERIJI Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang menyukarkan mangsa untuk menyelamatkan diri. – Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Pemasangan jeriji tingkap di tingkat tiga, laluan terhalang dan susunan katil yang menyukarkan mangsa menyelamatkan diri adalah antara hasil siasatan awal Bomba dan Penyelamat dalam kejadian kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittafiqiyah, Jalan Dato Keramat.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim, berkata mangsa mungkin dapat diselamatkan jika tidak ada jeriji di pasang pada tingkap di tingkat tiga bangunan berkenaan.

Selain itu, katanya, satu dari dua laluan yang terdapat di pusat tahfiz itu dihalang sekali gus tidak dapat digunakan pada masa kecemasan.

Beliau berkata keadaan katil dua tingkat yang tidak disusun secara teratur di tingkat tiga pusat tahfiz itu turut menjadi antara punca mangsa terperangkap ketika kebakaran.

“Berdasarkan pemantauan awal, kita dapati ada beberapa aspek keselamatan diabaikan oleh pihak pengurusan termasuk memasang jeriji besi di tingkap atas.

“Malah, dengan keadaan jumlah pelajar yang ramai serta struktur bangunan yang besar, pengurusan serta pemilik pusat tahfiz ini harus tahu bahawa mereka sepatutnya menyediakan dua laluan utama,” katanya kepada BH.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sehingga hasil siasatan oleh Unit Forensik Bomba dan Unit Forensik Polis diperoleh.

Mengulas isu sama, Wan Mohd Noor turut mengesahkan bahawa terdapat pengabaian aspek keselamatan oleh beberapa pusat tahfiz dan sekolah pondok di negara ini.

“Meskipun banyak kejadian kebakaran pernah berlaku termasuk yang mengorbankan 37 pelajar maahad tahfiz, perempuan di Baling, Kedah, pada tahun 1989, masih belum dijadikan pengajaran.

“Kerajaan juga pernah menubuhkan satu suruhanjaya selepas kejadian di Baling, Kedah, sebelum mengesyorkan supaya semua pusat tahfiz dan sekolah pondok mendaftarkan premis pengajian mereka,” katanya.

Salah satu elemen penting untuk mendaftarkan setiap pusat tahfiz adalah bagi memastikan aspek keselamatan dipatuhi.

Katanya, dengan kejadian di Kampung Dato Keramat ini, pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia, akan melancarkan pemeriksaan sebelum sesuatu kebenaran operasi dan aktiviti dibenarkan.

Loading...

Leave a Reply